Wednesday, April 20, 2011

Aku mahu jadi pemuda

selamat berjuang!!


Imam As-Syahid Hassan Al-Banna menyebut: “Berikan aku 300 katibah, yang mana rohnya sarat dengan iman dan taqwa, dadanya padat dengan ilmu dan thaqafah, jasadnya terlatih dengan latihan, maka ketika itu jika kamu mengajak aku untuk meneroka angkasa lepas, menembusi bumi tujuh petala, menghancurkan kepala penjajah, aku sanggup”.

Aku mahu jadi pemuda.

Aku lihat, dulu pemudanya hebat.

Dahulu, semasa perang Badar, Muawwiz bin Afra' dan Muaz bin Amru berjaya mencederakan pemimpin tertinggi musyrik Abu Jahal. Umur mereka, 13 dan 14 tahun. Seorang terus dibunuh dan mati syahid, seorang lagi berehat dan teruskan menyerang. Tangannya ditetak, terkulai. Dipijak tangannya sehingga putus dan terus meluru menyerang Abu Jahal. Syahid. Sebab mereka begitu mencari Abu Jahal apabila ditanya oleh Abdurrahman bin 'Auf - "Kerna, kami mendengar Abu Jahal selalu menghina dan menganiaya Nabi". Sungguh, aku ingin semangat aku seperti mereka.

Dahulu, selepas komando-komando terhebat Musyrik berjaya merentas parit Khandak menggunakan kuda-kuda terbaik mereka, umat Islam dicabar oleh komando terbaik. Tiga kali sahutan dan jeritan kepada kaum Muslimin ditempat mereka sendiri, tiada yang menyahut kecuali seorang pemuda. Dua kali dia disuruh duduk oleh Nabi kerana dia terlalu muda, lawannya terlalu hebat. Namun, Allah telah memilih dia. Dalam debu-debu kehangatan pertarungan satu lawan satu, tiada siapa tahu apa yang terjadi. Hanya kedengaran bunyi-bunyi pedang dan perisai bertembung. Kedua-dua pihak menanti penuh debar. Seusai debu pertarungan surut, zahirlah pemenang pertarungan. Allahu Akbar, Allah memenangkan si pemuda, takbir bergema. Siapakah pemuda yang berani tersebut? Dialah 'Ali bin Abi Talib. Sungguh, aku ingin keberanian aku seperti beliau.

Dahulu, dia dihantar oleh Nabi ke Madinah sebelum Nabi berhijrah ke sana. Menjadi duta Islam. Mengajarkan Islam. Dia, yang semasa jahiliyahnya digilai wanita-wanita. Ke mana sahaja beliau pergi, harumannya menusuk hidung si gadis, dan tahulah mereka bahawa pemuda yang digelar "Pemuda Makkah yang disanjung" lalu di situ. Benar, beliau digilai ramai orang. Namun, Islamnya beliau - membawa kepada penghijrahan Nabi ke Madinah. 12 orang dikembangkan menjadi beratus-ratus orang di Madinah atas usaha beliau. Beliau syahid di Perang Uhud. Ibnu Qamiah menyerang beliau, memutuskan tangan kanan beliau yang memegang panji Islam. Dijulang kembali panji itu dengan tangan kirinya. Dia kibarkan - putus tangan kirinya ditebas oleh Ibnu Qamiah. Dia menunduk, dengan kedua pangkal tangannya yang telah kudung, beliau dengan bersemangat memeluk panji Islam dan melaung "Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul, dan sebelumnya telah didahului para Rasul". Tombak terus tertancap di dadanya, dan gugurlah beliau sebagai syahid - di mana haruman keimanannya di Madinah dinikmati oleh semua orang. Beliau adalah Mus'ab bin Umair. Sungguh, aku ingin iltizamku terhadap Islam seperti beliau.

________________________________________________________________________________________________________
Suatu hari Umar al Khattab r.a. duduk-duduk bersembang dengan sahabat-sahabat beliau. Maka Umar berkata kepada sahabatnya, “Impikanlah”. Maka salah seorang sahabat yang hadir berkata, “Saya berangan-angan untuk memiliki banyak wang dan akan saya belanjakan untuk memerdekakan hamba dalam rangka meraih lebih redha Allah.”
Seorang yang lain menyahut, “Kalau saya, saya mengimpikan memiliki harta yang banyak lalu saya belanjakan fi sabilillah”. Yang lain menyahut, “Kalau saya mengangankan mempunyai tubuh yang kuat lalu saya abdikan diri untuk member air zam zam kepada jemaah haji satu persatu.” Setelah mendengar semua itu, maka Umar berkata, “Aku mengimpikan akan ada pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Musab bin Umair yang mana akan menegakkan agama ini di muka bumi.”
________________________________________________________________________________________________________


Sehingga 'Umar pun mengimpikan pemuda. Siapakah pemuda? Imam Hasan al Banna dalam risalah 'Kepada Pemuda' mengungkap...

Sepertinya keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter pemuda. Sebab sesungguhnya dasar keimanan adalah hati yang cerdas, dasar keikhlasan adalah nurani yang jernih, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, dan dasar amal adalah kemahuan yang kuat. Dan itu semua tidak terdapat kecuali pada diri pemuda.

Di akhir hari, dudukku keseorangan, atas sayangnya aku pada manusia, bencinya aku pada maksiat dan dosa pada diriku, berdoa - ya ALLAH, kau mudahkanlah diriku untuk mengikuti akhlaq Rasulullah, dan bintang-bintang di langitnya, sahabat-sahabat Nabi Muhammad. Semoga umat Islam kembali bangkit. Usah menanti zaman kelima, bangkitkan zaman kelima.

No comments:

Post a Comment